top of page

Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran - Anwar

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

27 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran serta menggesa penyelesaian tuntas bagi menamatkan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu ditegaskan beliau ketika berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi di rantau berkenaan.


Katanya, dalam perbuatan tersebut beliau menyampaikan ucapan takziah Malaysia kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara mereka, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, serta orang awam.


“Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.


“Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.


Perdana Menteri berkata, beliau turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.


Ujarnya, pengalaman lalu membuktikan gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lebanon.


“Justeru, usaha damai mesti berteraskan nilai keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan semua pihak terlibat.


“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,” katanya.


Anwar turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia dan menegaskan komitmen negara untuk terus memperkukuh solidariti itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page