KPM Perkukuh Kesediaan Institusi Pendidikan Hadapi Cuaca Panas
- nabalunews
- Mar 27
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
27 Mac 2026
PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarah meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas, susulan pembukaan semula sekolah selepas cuti penggal pertama.
Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan warga pendidik, kementerian memberi kelonggaran kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan berdasarkan keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing. KPM menegaskan bahawa kebenaran khas itu hendaklah digunakan secara fleksibel dengan mengutamakan keselesaan serta keselamatan, selaras dengan komitmen kementerian untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara.
Antara langkah kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan ialah menghadkan aktiviti luar apabila suhu mencecah 35 darjah Celsius serta memantau murid bagi mengelakkan pendedahan berlebihan kepada haba. Guru dan staf juga perlu peka terhadap tanda-tanda keletihan dan dehidrasi dalam kalangan murid.
Bekalan air minuman bersih hendaklah disediakan di sekolah, manakala murid digalakkan membawa air sendiri. Pengambilan air yang mencukupi sepanjang masa perlu diberi keutamaan, manakala minuman berkafein hendaklah dielakkan.
Bagi murid asrama, pihak institusi bertanggungjawab memastikan bekalan air sentiasa mencukupi serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kekangan bekalan. Sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan akibat cuaca panas, pihak sekolah diminta menghubungi klinik atau hospital berhampiran serta bertindak segera.
KPM turut mengingatkan semua warga pendidik agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa, mematuhi garis panduan yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan dalam setiap aktiviti.















Comments