Majikan swasta diseru pertimbang laksana Aturan Kerja Fleksibel
- nabalunews
- 29 minutes ago
- 2 min read

27 Mac 2026
PUTRAJAYA: Majikan di sektor swasta di seluruh negara diseru untuk mempertimbang pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagai langkah menghadapi cabaran krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi global, selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, pelaksanaan AKF dilihat sebagai pendekatan strategik yang mampu membantu organisasi menyesuaikan operasi dengan lebih cekap tanpa menjejaskan produktiviti, selain memberi manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.
“Dalam konteks peningkatan kos tenaga susulan konflik di Asia Barat serta kebergantungan kepada pergerakan harian pekerja, pendekatan kerja fleksibel dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja serta kehidupan yang lebih baik.
"Majikan sektor swasta digalakkan untuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid," kata kementerian itu pada Jumaat.
Menurut KESUMA, di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q Akta 265, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.
Katanya, peruntukan baharu itu membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (bekerja dari rumah).
"Bagi menjamin kebajikan pekerja, majikan yang melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah telah diperuntukkan bawah akta ini.
“Ia termasuk bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, dan pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am serta cuti sakit," katanya.
Bagi menyokong pelaksanaan itu, KESUMA berkata, pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik kepada majikan.
Tambahnya, JTKSM turut menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 yang merangkumi pelbagai aspek termasuk takrifan, bentuk, kaedah pelaksanaan, tanggungjawab majikan dan pekerja, serta tatacara permohonan dan kelulusan.
Majikan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai inisiatif berkaitan AKF melalui TalentCorp menerusi e-mel flexworklife@talentcorp.com.my atau laman web www.flexworklife.my.
"KESUMA menyeru semua majikan sektor swasta mengambil langkah proaktif mengadaptasi AKF sebagai strategi penting bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga, serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.
"Langkah itu termasuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing, melaksanakan pendekatan kerja fleksibel secara berperingkat mengikut keperluan operasi selain memanfaatkan sokongan dan panduan disediakan JTKSM serta TalentCorp,” kata kementerian itu.
KESUMA turut menegaskan komitmennya untuk memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan terus seiring dalam mendepani cabaran global semasa.











