Perpaduan teras kekuatan negeri Sabah - Hajiji
- nabalunews
- Aug 2
- 2 min read

1 Ogos 2025
KOTA KINABALU : Perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini adalah kunci utama kepada kekuatan dan kemakmuran Sabah yang berterusan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah dan ianya bukan kelemahan malah keunikan yang harus dibanggakan dan dipelihara.
"Setiap individu bertanggungjawab menjadikan ruang seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan ruang digital sebagai wadah memperkukuh persefahaman, bukannya menyemai perpecahan.
"Oleh itu, menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang," katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di sini, pada Jumaat.
Mengenai kemajuan pembangunan negeri ini, beliau berkata pencapaian Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 setakat Mei 2025 menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan purata pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.
“Antara sektor yang terus menjadi keutamaan adalah pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar,” ujar beliau.
Hajiji berkata, pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan, termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau turut mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja sebagai simbol kesetiaan dan semangat cinta negara.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025, Menteri-menteri Kabinet, Pembantu-pembantu Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.


















Comments