top of page
Wartawan Nabalu News

Persatuan Pengguna gesa kerajaan cari jalan tangani isu harga ayam, telur ayam


23 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah menggesa kerajaan persekutuan supaya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan harga ayam dan telur ayam tidak dinaikkan terlalu tinggi pada 1 Julai ini.


Presidennya David Chan berkata, ini penting berikutan keputusan kerajaan menamatkan harga siling bagi ayam dan telur ayam pada 30 Jun ini.


“Saya juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula untuk memberikan subsidi kepada para penternak ayam bagi mengelak kenaikan harga ayam dan telur ayam secara mendadak.


“Ayam dan telur ayam adalah antara makanan utama masyarakat kita. Pada masa ini harga makanan telah pun dinaikkan dan selepas ini ia dijangka akan terus naik sehingga 35 peratus.


“Kenaikan bahan mentah itu secara tidak langsung akan menyebabkan peniaga restoran dan kedai makan menaikkan harga makanan. Keadaan ini pastinya amat membebankann golongan B40, inflasi dan kos sara hidup juga akan terus meningkat,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


David berkata, perang di Rusia dan Ukraine turut mengakibatkan kenaikan harga makanan ternakan diimport seperti jagung.


“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kami juga memahami masalah peniaga dan para penjual makanan, mereka tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga makanan,” katanya.


Sehubungan itu beliau amat berharap agar kerajaan dapat mengambil langkah bijaksana untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat.


Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada para penternak ayam bermula 1 Julai ini.

Comentários


bottom of page