top of page

Pertahanan, Kedaulatan Negara Tanggungjawab Semua - Mohamed Khaled

nabalunews
1 day ago
2 min read

26 Sept 2026


KOTA KINABALU: Pertahanan dan kedaulatan negara menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak.


Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertahanan masa kini sudah sangat berbeza dan ancaman yang dihadapi sentiasa berubah.


"Sebelum ini, apabila bercakap soal pertahanan, ramai yang akan terbayang pasukan tentera, pergerakan aset-aset berat di sempadan, kapal-kapal perang yang mengawal perairan, atau jet-jet pejuang yang membelah ruang udara.



"Semua itu adalah gambaran yang betul tetapi ia tidak lengkap dan tidak

menyeluruh kerana, pertahanan hari ini sudah sangat berbeza.


"Kita mesti sedar tanggungjawab memelihara kedaulatan negara tidak lagi boleh dikhususkan kepada pasukan pertahanan atau angkatan tentera secara bersendirian.


"Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak.


"Di sinilah munculnya literasi pertahanan yang merupakan satu kesedaran, satu ilmu dan satu kemahiran yang mesti dimiliki

oleh setiap warganegara," katanya ketika berucap merasmikan Program Peluncuran Literasi Pertahanan Nasional di sini, pada Sabtu.


Beliau berkata, melalui inisiatif berkenaan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan lebih rancak mendekati seramai mungkin anggota masyarakat.


"Pelbagai siri-siri penerangan dan pencerahan akan giat dianjurkan bagi menyebar kesedaran berkaitan isu-isu pertahanan.


"Kita mahu masyarakat faham dengan jelas isu-isu pertahanan tidak lagi bermula dengan kehadiran musuh di sempadan atau perairan negara sebaliknya ancaman kedaulatan berada di mana-mana.


"Melalui agenda Literasi Pertahanan ini, kita mahu menyedarkan masyarakat terdapat banyak ruang dan cara untuk mengukuhkan ketahanan rakyat," tambahnya.


Mohamed Khaled menyeru rakyat agar menanam semangat untuk menjadi warganegara yang sayangkan negara, mempunyai daya tahan dan daya rintang yang kuat.


"Insya-Allah, apabila semua masyarakat memainkan peranan dan menyumbang kepada pertahanan negara, kedaulatan Malaysia akan kekal dan berkelangsungan," ujarnya lagi.


Hadir sama, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, wakil Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari./Penerangan

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page