Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Hari Malaysia Gensurai 2024 pupuk semangat patriotisme
- nabalunews
- Sep 14, 2024
- 2 min read

14 September 2024
KOTA BELUD: Persatuan Penduduk Kampung Gansurai, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan minat bersama mahu untuk turut serta dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan Hari Malaysia sebagai satu hari penting untuk memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September ini.
Sehubungan itu, Persatuan Penduduk Kampung Gansurai berhasrat menganjurkan pertandingan memancing yang bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi juga untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan peserta dan penduduk kampung melalui pelbagai aktiviti yang dirancang.
Pertandingan memancing itu dijadual diadakan ketika sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini bertempat di Kolam PPTIAG Sejati MADANI Dorolobou.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Gensurai, Taukin Sinit berkata matlamat program ini adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap kampung dan negara dalam kalangan penduduk.
Menerusi program ini juga, produk rekreasi yang terdapat di Kampung Gansurai, khususnya aktiviti memancing ikan air tawar dapat diketengahkan.
Taukin berkata program ini juga diharap dapat memperkukuhkan semangat kesepakatan dan kerjasama erat yang telah lama terjalin dalam kalangan penduduk kampung.
Ikan air tawar ditonjolkan dalam program ini sebagai elemen penting dan bernutrisi, selari dengan dasar keterjaminan makanan negara.
Selain itu, ikan air tawar juga diharap dapat merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti jual beli dan promosi produk tempatan.
Bagi melengkapkan program ini, setiausaha Penganjur, Maison Bansai telah menghantar surat rasmi kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM)
Kadamaian untuk menjemput YB Datuk Ewon agar dapat hadir memeriahkan acara ini.
Persatuan Penduduk Kampung Gansurai turut mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk memancing agar turut serta dalam pertandingan ini, lebih-lebih lagi kerana ia diadakan pada hari cuti umum.
Yuran penyertaan adalah RM15 dan perlu dibayar kepada bendahari selewat-lewatnya tiga hari sebelum pertandingan.
Syarat-syarat pertandingan akan disertakan dalam borang pendaftaran.
Selain itu, terdapat juga gerai jualan yang dibuka bagi membolehkan usahawan kecil dalam komuniti untuk mempromosikan dan menjual barangan serta hasil mereka.
Jualan ikan hasil aktiviti meancing juga akan dibuat untuk memberi peluang kepada pengunjung membeli ikan segar yang diternak di kolam tersebut.
Pertandingan ini diharap dapat menarik minat ramai serta memberi manfaat kepada penduduk Kampung Gansurai dan komuniti sekitarnya, selari dengan semangat Hari Malaysia yang ingin disemarakkan.
Hozzászólások