Pertandingan Memancing Semarakkan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Doluoh Kinasaraban 2025
- nabalunews
- May 7
- 2 min read

7 Mei 2025
KOTA BELUD: Sempena sambutan Pesta Kaamatan 2025 peringkat Kampung Doluoh Kinasaraban, satu pertandingan memancing telah berjaya dianjurkan di Kolam Ikan milik penduduk tempatan, Rainnie Suning, yang menarik penyertaan seramai 73 peserta dari pelbagai latar belakang.
Pengerusi penganjur, Lucy Bolong, dalam kenyataannya berkata, penganjuran pertandingan ini bertujuan memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti kampung melalui aktiviti yang mampu merapatkan hubungan sesama penduduk.
“Program sebegini menjadi wahana penting dalam memupuk semangat kekitaan dan silaturahim, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antara penduduk kampung,” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan menunjukkan sokongan kuat terhadap usaha komuniti dalam meraikan budaya dan tradisi sempena Pesta Kaamatan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan tersebut. Ucapan terima kasih khas diberikan kepada Rainnie sekeluarga atas kesudian membenarkan penggunaan kolam ikan peribadi mereka sebagai lokasi rasmi acara.
Selain itu, penghargaan turut dizahirkan kepada para penaja yang telah menyumbangkan hadiah menarik kepada para peserta, termasuk sumbangan hadiah utama bagi kategori ikan terberat atau ‘Jackpot’ oleh Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud, Encik Jolyhame Saran.
Sumbangan tambahan turut diterima daripada Tham Fung Ling dan Patricia Firid dalam bentuk hamper, sementara cabutan nama bertuah dikendalikan sendiri oleh Rainnie, yang menambahkan kemeriahan acara.
Dalam ucapannya, Lucy mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan menyampaikan kata-kata semangat kepada peserta lain agar terus mencuba pada penganjuran akan datang.
“Bagi mereka yang kurang berjaya kali ini, kami menggalakkan supaya terus berusaha dan tidak berputus asa. Kami percaya acara ini akan terus menjadi agenda tahunan yang dinanti-nantikan,” katanya.
Kejayaan penganjuran ini menjadi bukti bahawa semangat gotong-royong dan penghargaan terhadap budaya tempatan masih utuh dalam kalangan masyarakat setempat, sejajar dengan matlamat untuk terus memelihara dan memperkasa warisan budaya Sabah.
Comments