Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah rancang bantu sekolah pedalaman
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah rancang bantu sekolah pedalaman


Lincoln (tujuh dari kiri), Asnan (enam dari kanan) dan Yeo (lima dari kanan) bergambar bersama ahli Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah.

12 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah merancang pelbagai program kebajikan sepanjang tahun ini termasuk mengenalpasti sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang memerlukan bantuan.


Pengerusinya Lincoln Martin Idang berkata, pertubuhan itu memilih sekolah untuk projek kebajikan seterusnya kerana masih banyak sekolah di negeri ini amat memerlukan sumbangan tetapi kurang mendapat perhatian.


“Sebab itu kami sedang mengenalpsti sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman dan jenis bantuan yang bersesuaian untuk sekolah berkenaan.


“Saya berharap peralihan ke fasa endemik dan rakyat dapat kembali kepada gaya hidup normal mereka dan kita dapat melaksanakan dengan baik semua program kebajikan yang dirancang sepanjang tahun ini,” katanya kepada Nabalu News.


Tun Juhar (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci kenderaan daripada Yeo mewakili Pertubuhan Kebajikan Akinabalu kepada Asnan mewakili BSMM.

Kelmarin (11 April), Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah dan International Federation of The Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) menyampaikan sumbangan empat unit kenderaan baharu kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah.


Upacara ringkas penyerahan sumbangan disempurnakan Tuan Yang Terutama Tun Juhar Haji Mahiruddin yang juga Penaung Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah di perkarangan Istana Seri Kinabalu.


Turut hadir Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung, Penasihat Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah, Datuk Yeo Hock Ching dan Charles Wembley Mogindol dari IFRC.



Lincoln merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang bermurah hati menghulurkan sumbangan untuk pembelian ambulans dan berharap lebih ramai menyertai projek kebajikan seumpama itu pada masa akan datang.


Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah ditubuhkan pada Jun 2021 dengan matlamat utama sebagai platform semua lapisan masyarakat membantu mereka yang memerlukan bantuan.


Sementara itu Asnan Yunus berkata, semasa pandemik Covid-19, pelbagai bantuan seperti agihan bakul makanan kepada golongan B40, penghantaran makanan ke pusat kuarantin dan vaksinasi di kawasan pedalaman Sabah berjaya dijalankan.


“BSMM menyedari keperluan mempunyai logistik yang lebih baik bagi memastikan khidmat yang lebih mantap dapat diberikan semasa dan selepas berlakunya bencana.


Datuk Asnan Yunus Chung.

“Bagaimanapun kekangan logistik disebabkan kenderaan yang dimiliki persatuan berusia lebih 20 tahun dan adakalanya kenderaan bermasalah serta tidak dapat beroperasi dengan baik.


“Tambahan lagi, dengan keluasan Sabah serta sesetengah tempat berisiko mengalami situasi seperti banjir, kesiapsiagaan menghadapi bencana adalah perkara yang perlu dititikberatkan,” katanya.


Sehubungan itu katanya, pada 2020, BSMM membuat permohonan mendapatkan logistik baru daripada IFRC dan Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah.


“Hasilnya berjaya mendapatkan empat unit kenderaan iaitu Nissan Navara 4x4, Lori Hino, Ambulans Toyota Hilux 4x4 dan Ambulans Gold Dragon," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page