Peruntukan pembangunan RM5.2 bilion untuk Sabah tidak cukup: BungPeruntukan pembangunan RM5.2 bilion untuk Sabah tidak cukup: Bung
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peruntukan pembangunan RM5.2 bilion untuk Sabah tidak cukup: Bung



31 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan sebanyak RM5.2 bilion untuk projek pembangunan di Sabah dalam Bajet 2022 tidak mencukupi, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.


Beliau berkata, ini kerana banyak masalah infrastruktur di negeri ini perlu dipertingkatkan termasuk pembangunan infrastruktur berkaitan bekalan air, jalan raya, jambatan dan elektrik yang memerlukan dana besar setiap tahun.


"Peruntukan untuk projek pembangunan di Sabah tidak mencukupi, sepatutnya lebih banyak diberikan iaitu 10 peratus hingga 15 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang diberikan.


"Ini kerana banyak keperluan pembangunan air, jalan raya, jambatan dan elektrik yang masih diperlukan di kawasan luar bandar negeri ini, tambahan pula keluasan Sabah agak besar," katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas Bajet 2022 yang menyentuh peruntukan membabitkan Sabah.


Semasa membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk pembangunan kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain kemudahan pendidikan serta kesihatan di Sabah pada tahun depan.


Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, walaupun banyak projek dibiayai melalui bajet tahun depan, masih ada yang perlu ditambah berdasarkan keperluan semasa di Sabah.


"Memang kita tidak nafikan kerajaan Pusat memberi keutamaan untuk melaksanakan projek mendesak seperti menaik taraf sekolah daif tetapi masih ada lagi yang perlu diberikan perhatian, sebab itu kita perlukan lebih banyak peruntukan," katanya.


Selain peruntukan RM5.2 bilion itu, Sabah turut diberi peruntukan untuk menaik taraf 112 sekolah daif di bawah peruntukan untuk sekolah daif seluruh negara berjumlah RM746 juta.


Sabah dan Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar pada tahun depan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page