top of page
nabalunews

Peruntukan Pembangunan untuk Sabah dan Sarawak perlu dilaksanakan dengan cekap dan berkesan - Dr Peter

18 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan sebanyak RM6.7 bilion untuk Sabah dan RM5.9 bilion untuk Sarawak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini merupakan langkah positif.


Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dr Peter Jr Naintin berkata dana ini perlu dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. 


"Agensi pelaksana hendaklah memastikan urusan dipermudah dengan tatakelola yang baik serta telus. Penambahan peruntukan juga bermaksud keperluan untuk memperkasakan tenaga kerja yang berpengalaman, yang mampu menyelesaikan projek dengan efektif," katanya ketika dihubungi Nabalu News.


Dr Peter berkata Pemberian Khas sebanyak RM600 juta kepada Sabah dan Sarawak merupakan satu pengiktirafan terhadap keperluan dan hak rakyat di kedua-dua negeri.


Katanya dana ini boleh digunakan oleh Kerajaan Sabah untuk membina lebih banyak Rumah Rakyat Sabah (SMJ) dengan kos yang lebih kompetitif, sekaligus memperluaskan akses perumahan kepada golongan yang memerlukan.


Dr Peter menambah penganugerahan 17 pakej Lebuhraya Pan Borneo menunjukkan komitmen serius Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam pembangunan infrastruktur.


"Usaha ini adalah satu langkah yang dialu-alukan, dan kami mengucapkan terima kasih atas kesungguhan kerajaan dalam meneruskan projek ini," katanya.


Mengenai pembesaran Lapangan Terbang Tawau, beliau berkata ia amat bertepatan dengan peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa yang tertarik dengan keindahan alam semula jadi di kawasan Pantai Timur Sabah.


Menurut Dr Peter, pembangunan ini bukan sahaja akan meningkatkan akses pelancongan, tetapi juga membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat.


Dr Peter turut merakamkan penghargaan

kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sarawak atas usaha membangunkan Pusat Kanser Sarawak.


"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sarawak atas usaha membangunkan Pusat Kanser Sarawak. Sebagai cadangan, mungkin pusat ini boleh dinamakan Pusat Kanser Borneo sebagai simbol perpaduan dan kepentingan seluruh rantau Borneo dalam bidang kesihatan dan penjagaan pesakit," katanya.

Comments


bottom of page