top of page

Bekalan makanan menjelang Aidilfitri mencukupi

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

13 Mac 2026


PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan asas negara mencukupi menjelang Hari Raya Aidilfitri biarpun berdepan konflik geopolitik di Asia Barat.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan makanan asas negara seperti beras, ayam, sayuran dan buah-buahan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun ini.


“Buat masa ini jangan kita bimbang apa-apa, kita sambut Hari Raya dengan tenang, dengan konsep berjimat cermat terus kita jalankan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.


"Keadaan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan semuanya cukup sekurang-kurang sampai Mei dan Jun yang akan datang. Jadi rakyat tidak perlu panik," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Menurut Mohamad, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan khusus untuk memperbanyakkan bekalan sayur dan ikan dalam pasaran, antaranya melalui inisiatif Komuniti MADANI.


“Pelaksanaan Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah juga akan terus dipertingkatkan bagi membolehkan rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan,” ujarnya.


Dalam pada itu, katanya, kebanyakan bekalan makanan import negara tidak melalui Asia Barat sebaliknya diperoleh daripada negara seperti dalam kalangan ASEAN, India, Pakistan, Brazil dan Argentina.


Katanya, konflik di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada kos pengangkutan dan seterusnya harga barangan sekiranya ia berlarutan dalam tempoh yang panjang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page