PERUNTUKAN UNTUK JASA SATU PEMBAZIRAN: ANGKATAN MUDA KEADILANPERUNTUKAN UNTUK JASA SATU PEMBAZIRAN: ANGKATAN MUDA KEADILAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PERUNTUKAN UNTUK JASA SATU PEMBAZIRAN: ANGKATAN MUDA KEADILAN

Razeef

7 Nov 2020


KOTA KINABALU: Peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebanyak RM81 juta satu pembaziran ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah Razeef Rakimin.

Beliau berkata, sebelum tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN), peruntukan tertinggi pernah diberikan kepada JASA adalah sebanyak RM30 juta iaitu pada Belanjawan 2018.

“Saya dimaklumkan JASA hanya alat propaganda kerajaan dengan 52 pekerja namun telah dimansuhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dilihat sebagai membazir dan tidak menguntungkan rakyat mahupun negara.

“Namun saya agak terkilan kerana bukan sahaja JASA dihidupkan semula malah diberi peruntukan 270 peratus lebih daripada peruntukan dahulu hanya untuk memainkan propaganda kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Razeef berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya lebih fokus kepada isu semua lapisan masyarakat selain pemulihan ekonomi negara. Ini kerana semua pihak terjejas ekoran wabak Covid-19 yang dilihat semakin serius.

“Kelmarin sebanyak 1,199 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di Sabah. Ini kes positif untuk tempoh 24 jam dan bukan seminggu mahupun sebulan.

“Di sini kita boleh lihat ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih maka kita perlukan belanjawan untuk jangka masa panjang dan bukan hanya pemberian ‘one off’ sebagai 'halwa telinga'.

“Kerajaan ingin memberikan elaun khas secara ‘one off’ untuk Petugas Barisan Hadapan (Frontliners) sebanyak RM500 kepada 100,000 Petugas Kesihatan. Ini bermakna hanya RM50 juta diperuntukkan buat petugas barisan hadapan yang bertarung nyawa melawan wabak Covid-19 namun JASA diperuntukkan sebanyak RM81 juta. Bukankah nampak ketidak adilan di situ?

Razeef berkata, begitu juga dengan lanjutan moratorium yang amat diharapkan rakyat. Banyak pihak terkesan dari segi pendapatan samada gaji dikurangkan, diberi cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja malah para peniga yang terkesan dari segi pendapatan.

“Lanjutan pembayaran balik pinjaman atau moratorium sangat membantu rakyat kerana menaikkan bantuan ‘one off’ kepada rakyat tidak mampu mengurangkan beban rakyat untuk membayar semula pinjaman ketika rakyat kurang atau tidak ada pendapatan.

“Kita juga tidak melihat keistimewaan kepada golongan Mahasiswa, Petani, Nelayan, OKU, Orang Asal, Wanita dan pelbagai golongan lagi yang memerlukan lebih insentif kerana terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Peruntukan Belanjawan 2021 merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak Rm322.54bilion atau 10.6 peratus lebih tinggi daripada belanjawan 2020 namun tidak jelas bagaimana pertambahan peruntukan ini boleh membantu rakyat yang terkesan dan tidak nampak bagaimana inisiatif-inisiatif yang diumumkan dapat memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai peruntukan untuk dua wilayah di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, beliau berkata, walaupun keluasan yang hampir sama dengan Semenanjung namun peruntukan yang diberikan kepada Sabah hanya RM5.1 bilion dan Sarawak RM4.5 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM9.6 bilion jika dibandingkan dengan Semenanjung.

“Sepatutnya ada peningkatan agar Sabah dan Sarawak tidak terus tercicir dari segi pembangunan infrastruktur seperti di Semenanjung namun Belanjawan 2021 kali ini jelas mengecewakan.

“Oleh itu saya menyeru kepada Ahli-Ahli Parlimen bukan sahaja pembangkang malah di blok kerajaan supaya menolak belanjawan ini.

“Kita perlukan satu belanjawan yang efisyen bagi membantu rakyat serta memulihkan ekonomi. Jika blok pembangkang mampu memberikan Belanjawan yang lebih baik kenapa kita perlu menyokong belanjawan kerajaan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu dan bukan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Katanya lagi: “Ini bukan masa untuk bermain politik tapi ini masa untuk kita berikan yang terbaik kepada rakyat dan negara untuk jangka masa panjang dan bukan hanya kelebihan untuk suku pertama tahun 2021”.

bottom of page