top of page

Pesakit jagaan harian mula dikenakan bayaran, pesakit buah pinggang terkesan – Vivian

  • Farah Salim
  • Aug 5, 2022
  • 2 min read


5 Ogos 2022

Oleh Farah Salim


SANDAKAN: Semua hospital kerajaan di negeri ini termasuk Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, telah mula mengenakan bayaran bagi kesemua pesakit jagaan harian, termasuk golongan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan.


Kebanyakan penerima bagi skim kebajikan itu adalah kumpulan warga emas B40 berpendapatan rendah serta tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada bayaran dari bantuan kebajikan bagi menampung kehidupan.


Dengan menarik balik bayaran percuma bagi pesakit ini, ia akan menambah beban kewangan yang banyak kepada mereka.


Menurut Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, salah satu kumpulan yang terkesan ini adalah pesakit buah pinggang yang menerima rawatan rutin dialisis yang kerap iaitu tiga kali seminggu di Unit Hemodialisis HDOK Sandakan.


Beliau berkata, dibawah peraturan berkenaan, mereka yang berusia 60 tahun ke atas perlu membayar RM13 setiap kali menerima rawatan di unit dialisis itu manakala pesakit yang berusia 60 tahun ke bawah perlu membayar RM14 bagi sekali rawatan.


Vivian menerima aduan itu menerusi beberapa panggilan dan mesej dari penerima bantuan kebajikan berkenaan perkara ini dan meminta pertolongan dari beliau dalam beberapa hari ini.


“Terima kasih kepada pihak HDOK Sandakan yang bersetuju membantu kesemua penerima bantuan kebajikan ini untuk memohon kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengetepikan bayaran rawatan untuk kumpulan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sehubungan itu Vivian menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempertimbangkan semula keputusan itu dimana permohonan tambahan untuk pengecualian itu hanya akan menambah birokrasi yang tidak perlu kepada sistem kesihatan awam khasnya yang sangat memerlukan dan tidak mampu.


“Apa gunanya memohon pengecualian ini apabila semua data penerima sudah ada dengan pejabat kebajikan? Pesakit ini sudah menghidap penyakit kronik tetapi kerajaan mahu mereka melalui lebih banyak kertas kerja dan lebih banyak kerumitan untuk menerima bantuan yang diperlukan?


“Sekiranya kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan, mereka harus melihat terlebih dahulu untuk mengurangkan bilangan menteri kabinet dan timbalan menteri yang ada dalam kerajaan, dan tidak seharusnya menghalang pesakit yang memerlukan daripada menerima bantuan kebajikan yang sepatutnya mereka terima,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page