Pesara juga terima manfaat pelarasan pencen SSPA
1 November 2024
MARANG: Pesara kerajaan bakal menerima manfaat daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) apabila pencen yang mereka terima akan diselaraskan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
“Pelarasan pencen ini memang dilaksanakan setiap kali terdapat sistem saraan baharu. Bukan hanya mereka yang dalam perkhidmatan yang akan mendapat manfaat, sebaliknya pesara juga akan merasakannya.
“Namun, bagi mereka yang memilih untuk kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan kemudian akan menerima pencen pada tahun hadapan, pengiraan pencen adalah berdasarkan gaji akhir SSM. Sementara bagi yang memilih opsyen SSPA, pengiraan pencen akan berdasarkan gaji akhir SSPA iaitu selepas pelarasan Disember ini,” katanya selepas menyantuni dua pesara kerajaan Persekutuan di sini pada Rabu, lapor Bernama.
Wan Ahmad Dahlan yang menyeru penjawat awam untuk memilih SSPA sebelum tempoh opsyen berakhir 30 Nov ini turut menjelaskan mereka yang memutuskan untuk kekal dengan SSM tidak akan dinafikan hak pencen mereka ketika bersara kelak, namun tidak akan mendapat pelarasan gaji Disember nanti.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 2024 Ogos lepas berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusannya yang dinikmati oleh penjawat awam yang sedang berkhidmat, melalui dua fasa.
Menyentuh mengenai program lawatannya itu, Wan Ahmad Dahlan berkata ia membuktikan komitmen kerajaan yang tidak pernah mengabaikan pesara, terutama ketika golongan itu berdepan pelbagai permasalahan seperti kesihatan dan kewangan.
“Insya-Allah program ini akan diteruskan untuk pastikan hasrat Perdana Menteri yang mahu kemiskinan ditangani dengan tuntas dan boleh dilaksanakan sebaik mungkin. Bagi pesara pula, walaupun tidak lagi berkhidmat, jasa mereka tetap dihargai kerajaan,” katanya.
Dalam lawatan itu, Wan Ahmad Dahlan turut menyampaikan sumbangan eKasih daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Terengganu kepada dua penerima iaitu Md Rosmadi Md Yahya dan Muhammad Asrol Azmi dengan masing-masing menerima bantuan kelengkapan rumah bernilai RM7,575 dan RM9,858.
Comments