top of page

Pesawah Piasau Sambut Baik Pam Air, Tetapi Tegaskan Tuntutan Ganti Rugi Diteruskan

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


27 Mei 2026


KOTA BELUD: Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau menyambut baik komitmen kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memulihkan sistem pengairan sawah di kawasan tersebut, namun menegaskan bahawa beberapa isu kritikal masih belum diselesaikan sepenuhnya sehingga menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pesawah.


Pengerusi persatuan, Fidelis Boyogo, dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menghargai lawatan dan usaha Datuk Jamawi Jaafar bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), IADA serta agensi berkaitan yang memasang tiga pam air sebagai penyelesaian interim bagi membantu pesawah kembali menanam pada musim utama akan datang.


Walau bagaimanapun, persatuan berpandangan bahawa penggunaan pam hanyalah penyelesaian sementara dan bukan penyelesaian menyeluruh terhadap kelemahan rekabentuk serta pelaksanaan projek terusan yang sedang berlaku. Antara kebimbangan utama ialah keadaan sistem tali air yang masih mengalami kerosakan di beberapa lokasi serta keupayaan sebenar sistem pam yang dipasang untuk menampung keseluruhan keperluan air bagi kawasan sawah yang luas. Pesawah mempersoalkan bagaimana air dapat disalurkan secara konsisten ke semua petak sawah sekiranya infrastruktur pengairan masih belum pulih sepenuhnya.

Persatuan turut merujuk kepada kenyataan menteri sendiri yang mengakui masih terdapat komponen tambahan termasuk struktur intake tambahan kira-kira lima kilometer dari lokasi utama yang belum disiapkan bagi memastikan bekalan air mencukupi ke kawasan sawah paling hujung. Keadaan ini, menurut persatuan, menguatkan lagi kebimbangan bahawa sistem sedia ada mungkin masih belum mampu menjamin kestabilan pengairan untuk keseluruhan kawasan tanaman.

Dalam pada itu, persatuan menegaskan bahawa tuntutan ganti rugi pesawah akan tetap diteruskan selagi sistem pengairan belum benar-benar berfungsi secara menyeluruh, kerosakan tali air masih berlaku, sawah masih gagal diusahakan seperti biasa, dan kerugian pesawah akibat kehilangan beberapa musim tanaman belum diselesaikan. Pesawah telah menanggung kehilangan pendapatan selama beberapa musim akibat gangguan projek pengairan dan pelaksanaan kerja yang memberi kesan langsung kepada aktiviti penanaman padi.


Sehubungan itu, persatuan menggesa agar audit teknikal bebas dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem pengairan dan kapasiti pam, serta pelan pemulihan penuh tali air diumumkan secara telus kepada pesawah.

Persatuan juga meminta pemantauan berkala bersama pesawah diadakan sehingga musim penanaman benar-benar berjaya dipulihkan, siasatan menyeluruh terhadap pelaksanaan projek diteruskan termasuk cadangan penubuhan Royal Commission of Inquiry (RCI) sekiranya perlu, serta mekanisme pampasan adil kepada pesawah dipercepatkan.

Persatuan menegaskan bahawa pesawah bukan menolak pembangunan, tetapi mahukan projek yang benar-benar berfungsi, telus dan mampu menjamin masa depan industri padi di Kota Belud sebagai antara kawasan jelapang padi penting di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page