Pesta Kaamatan Kampung Melangkap Kapa Disambut Meriah
- nabalunews
- Jun 23, 2025
- 1 min read

23 Jun 2025
KOTA BELUD: Pesta Kaamatan peringkat Kampung Melangkap Kapa telah diraikan dengan penuh warna-warni dan semangat kebudayaan pada Sabtu lalu, dengan pelbagai aktiviti tradisional serta penyertaan aktif daripada masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pemaju Mukim merangkap Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pusat Khidmat ADUN N.11 Kadamaian, Encik Anichlose Kesimin, yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.11 Kadamaian, YB Datuk Ewon Benedick.
Acara yang bermula seawal jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam itu turut dihadiri oleh Pengerusi Penganjur, Encik Jame Sungkit; Ketua Kampung Melangkap Kapa, Encik James Palit; Puan Saunah Balinsai; serta YBhg. Datuk Rubbin Guribah. Kehadiran para pemimpin dan masyarakat dari pelbagai lapisan menjadikan sambutan tahun ini lebih meriah dan bermakna.

Antara acara utama yang menarik perhatian ialah pertandingan masakan tradisional yang turut dinilai oleh perasmi, peragaan pakaian tradisi Basaan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan, serta pertandingan Ratu Ibu 55 Tahun ke Atas, Ratu Ibu Muda, dan Unduk Ngadau Kaamatan.
Selain itu, aktiviti tradisional seperti Manadus, Momolositik, Monopuk, Mara Panau, Manangon Kanak-Kanak, dan Sugandoi Kanak-Kanak turut memeriahkan suasana.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian sambil para pengunjung menikmati hidangan dan suasana harmoni, mencerminkan warisan budaya yang terus dipelihara turun-temurun.















Comments