Pesta Kaamatan UPKO Keningau 2025 Serlah Semangat Perpaduan dan Warisan Budaya
- nabalunews
- Jun 12
- 2 min read

12 Jun 2025
KENINGAU: Perayaan Pesta Kaamatan anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau pada 7 Jun lalu telah berlangsung dengan meriah di Dewan Datuk Angian Andulag, Apin-Apin.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung UPKO, Senator Datuk Nelson Wences Angang, yang hadir mewakili Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Sambutan ini menyaksikan kehadiran pelbagai pemimpin parti, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat pelbagai etnik serta para tetamu kehormat dari dalam dan luar kawasan Keningau, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap nilai-nilai kebudayaan masyarakat tempatan.

Pengerusi Penganjur merangkap Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran program ini.
“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga ditujukan kepada semua barisan kepimpinan UPKO, antaranya Naib-Naib Presiden Mohina Sidom, Datuk Wong Thien Fook, Datuk Pangiran Lalung, dan Datuk Laurentius N. Ambu, serta Ahli Majlis Tertinggi (AMT) seperti Georgina George, Carl Moosom, Dennison R. Indang, Dr. Peter Jr Naintin dan Datin Julie Jann yang turut hadir,” ujar beliau.
Kennedy turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa penganjur yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan setiap perincian acara berjalan dengan lancar. Usaha gigih mereka, menurut beliau, merupakan tunjang kejayaan keseluruhan sambutan.

Di samping itu, sumbangan yang diterima dalam bentuk kewangan, barangan dan perkhidmatan daripada para dermawan serta penyumbang amat dihargai dan dilihat sebagai pemangkin utama yang memungkinkan kelangsungan penganjuran perayaan ini dengan jayanya.
Acara ini turut dihiasi dengan kehadiran wakil-wakil parti dari Kerajaan Perpaduan, rakan-rakan NGO, pemimpin masyarakat serta penduduk tempatan dari pelbagai pelosok negeri yang datang untuk meraikan pesta ini bersama-sama.
Perayaan Pesta Kaamatan ini bukan sahaja berfungsi sebagai medan memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah, malah menjadi wadah penting dalam mengekalkan serta mempromosikan warisan budaya yang menjadi identiti anak jati negeri ini.
Comments