Pesta Kaamatan 2026 di Kampung Pinolobuh Meriah, Tekad Perpaduan Masyarakat
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
29 Mei 2026
KOTA BELUD: Penduduk dan pengunjung telah membanjiri Dewan Terbuka Tamu Desa Tradisi Kampung Pinolobuh sejak jam 8.00 pagi bagi menyambut Pesta Kaamatan 2026 yang berlangsung dengan meriah dan penuh semangat kekitaan.
Perasmian pesta itu diwakili oleh Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan Dan Pengangkutan, Carlye Lajimin, mewakili Datuk Ewon Benedick yang tidak dapat hadir akibat komitmen lain di kementerian.
Carlye menyampaikan salam kemaafan daripada Ewon serta mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan penganjuran pesta tersebut.

Dalam ucapannya, Carlye menegaskan bahawa kehadiran orang ramai yang begitu ramai membuktikan perpaduan utuh dalam masyarakat.
Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Kampung Pinolobuh, Jeaprin Sipaul, pula berkata bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja tanda kesyukuran atas hasil tuaian, malah menjadi medium memupuk perpaduan, semangat kekitaan serta melestarikan adat dan budaya.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jawatankuasa, penduduk kampung, penyumbang dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan ini. Marilah kita bersama memelihara budaya dan tradisi untuk generasi akan datang," ujar Jeaprin sambil menyerukan slogan 'Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Puiiunungan.'

Turut hadir Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Malisah Sinin, Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Risin Ituk, serta pemimpin komuniti.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada para penyumbang yang menjayakan program ini, termasuk Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy, Cikgu Bantason Sinua, serta beberapa pemilik kedai runcit di Kampung Pinolobuh. Pesta turut dimeriahkan dengan Jualan MADANI Koperasi yang dianjurkan oleh SKM.















Comments