Petani Bawang Mampu Raih Pendapatan RM35,000 Semusim
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

18 Oktober 2025
SOOK: Pengusaha bawang di negara ini mampu meraih pendapatan tinggi yang boleh mencecah lebih RM35,000 dalam satu musim sekiranya mereka mengamalkan teknik penanaman moden, menggunakan benih berkualiti serta mengoptimumkan penggunaan input seperti baja dan sistem pengairan.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abd. Ghani berkata, MARDI komited untuk membantu para petani mencapai sasaran tersebut dengan menyediakan bimbingan dan latihan bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal petani tempatan dalam usaha memperluas penanaman bawang merah terutama di Sabah.
"MARDI sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk melaksanakan kursus- kursus dan latihan amali kepada petani-petani khususnya di Sabah ini dengan memberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi moden yang lebih efisien dan berdaya saing.

"Diharapkan dengan adanya kursus yang kita adakan ini dapat membuka mata kepada para petani untuk menceburi bidang tanaman bawang dan membantu meningkatkan pendapatan mereka yang mana kalau lihat, kalau kita menanam pada keluasan 1 ekar kita boleh menghasilkan 5 hingga 6 tan bawang dengan harga semasa yang boleh mencecah RM35,000 semusim dalam jangka masa lebih kurang 90 hari, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kursus Teknologi Penanaman Bawang Merah bersempena Program Mini Karnival Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup di Kampung Karamatoi, di sini.
Seramai lebih 200 orang peserta menyertai kursus yang memperkenalkan pelbagai varieti bawang yang beradaptasi dengan iklim tempatan, kaedah penanaman konvensional dan sistem fertigasi, serta amalan kawalan perosak dan penyakit yang berkesan.
Peserta turut diberikan pendedahan mengenai pengurusan lepas tuai yang efisien bagi mengekalkan kualiti dan viabiliti benih bawang merah.
Selain sesi teori, program ini turut menampilkan demonstrasi lapangan yang memperlihatkan langkah demi langkah penyediaan media tanaman, proses penyemaian serta teknik penanaman bawang merah. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat secara langsung aplikasi teknologi yang dibangunkan oleh MARDI.
Beliau menambah, penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal petani tempatan dalam usaha memperluas penanaman bawang merah di Sabah.
"Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang serta memperkukuh industri benih tempatan.
"Kursus ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ladang bawang merah baharu di beberapa kawasan terpilih di negeri Sabah," tambahnya.