top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH ada pakej selamatkan negara: Taufik


Taufik Dahlan, calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Ranau.

6 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Rakyat mesti menyokong dan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana PH adalah satu-satunya gabungan parti politik yang memiliki pakej untuk mengelak negara terus terbabas ke arah kemusnahan.


Calon PH bagi kerusi Parlimen Ranau, Taufik Dahlan berkata, senario politik yang tidak stabil seperti pertukaran Perdana Menteri yang berterusan, isu rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai lagi mendorong beliau untuk mendalami arena politik tempatan.


“Bertahun-tahun yang lalu, kita pernah mendengar pelbagai Rancangan Malaysia yang menarik yang dirangka oleh kerajaan, tetapi pada masa kini Rancangan Malaysia nampaknya semakin sunyi dan senyap.


“Apa yang menjadi kebisingan dan sering kita dengar dalam berita hari ini adalah cerita perebutan kuasa, pergolakan sesama sendiri atau sesama parti politik. Jadi saya fikir imej pecah yang dicetuskan oleh pemimpin dahulu perlu diberi alternatif.


“Ke arah itu, saya mengambil keputusan untuk tampil ke hadapan dan menyahut cabaran melalui PH kerana gabungan ini mempunyai pakej terbaik untuk dilaksanakan demi negara dan rakyatnya,” katanya.


Taufik berkata, keputusannya mendalami politik melalui PH adalah dengan harapan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin di Ranau dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan.


“Agenda saya adalah ke arah membentuk kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab serta tidak meminggirkan masyarakat miskin dan memastikan pembangunan seimbang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


“Selain itu, kita juga sedang meneliti pelbagai isu lain yang mesti kita perbaiki apabila kita benar-benar menjadi tonggak utama dalam kerajaan yang memerintah kelak,” katanya.


Taufik atau Apirin Jahalan @ Taufik Sham menghadapi saingan empat penjuru merebut kerusi Parlimen Ranau.


Beliau bersaing dengan penyandang kerusi Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin (GRS-BERSATU) dan Datuk Dr Ewon Ebin (PBRS), Markos Situn (Warisan) dan calon muda, Azizul Julirin yang mewakili parti Tun Mahathir Mohamad, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).


Comments


bottom of page