PH dakwa Peguam Negara amal pendakwaan terpilihPH dakwa Peguam Negara amal pendakwaan terpilih
top of page
  • Farah Salim

PH dakwa Peguam Negara amal pendakwaan terpilih



26 November 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan meneliti tindakan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhubung isu pendakwaan dan kehakiman baru-baru ini, termasuk kes Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lalu atas dakwaan salah guna kuasa.


Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, hingga hari ini bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu masih tidak dibawa ke mahkamah.


Pada ketika itu, dilaporkan bahawa SPRM menunggu arahan Peguam Negara untuk mendakwa beliau.


“Kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes ini selepas enam bulan berlalu jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri menyalahgunakan kuasanya dengan melakukan pendakwaan berpilih bermotif politik.


“Pada ketika YB Pasir Salak bakal menjadi duta Malaysia ke Indonesia, isu penahanan beliau oleh SPRM ini mungkin akan mewujudkan persepsi amat buruk terhadap negara.


“Adakah penghormatan tertinggi diberikan kepada sebuah negara jiran penting apabila Malaysia melantik seorang Duta Besar yang pernah ditahan Kerajaan sendiri atas dakwaan salah guna kuasa?, kata kenyataan media itu, hari ini.


Majlis Presiden PH meneliti isu ini bersekali dengan siri tindakan Peguam Negara, termasuk dalam membatalkan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen UMNO dari Putrajaya, Tengku Adnan Mansor dari dakwaan rasuah melibatkan penerimaan RM2 juta dari seorang ahli perniagaan pada 2016.


Ahli perniagaan tersebut telahpun mengaku bersalah dan didenda kerana memberi sogokan kepada Tengku Adnan. Majlis Presiden amat kesal bahawa sehingga hari ini, Peguam Negara masih belum lagi memberi sebarang penjelasan terhadap tindakan beliau ini.


“Oleh itu, kami menggesa Peguam Negara segera memberi penjelasan mengapa YB Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah.


“Sekiranya beliau gagal mendakwa YB Pasir Salak, maka Peguam Negara tidak layak memegang jawatan penting ini,” kata kenyataan itu.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Hj.Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page