PH Sabah alu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan benar SLS teruskan prosiding pemberian khas untuk Sabah
19 Jun 2024
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) meneruskan prosiding semakan kehakiman berhubung pemberian khas kepada Sabah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Pimpinan PH Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu menandakan satu langkah signifikan dalam memastikan Sabah menerima bahagian saksama sebagai rakan kongsi sepertimana yang telah termaktub, dimandatkan dan diamanatkan dalam perlembagaan.
“Kami percaya prosiding semakan kehakiman adalah penting untuk penyelesaian serta untuk menangani perkara ini dan kami komited menyokong proses undang-undang ini sehingga penyelesaian muktamad dicapai.
“PH bagaimanapun tetap terbuka untuk meneroka penyelesaian alternatif secara damai bagi memuktamadkan isu yang telah lama berlarutan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan ini,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, PH Sabah juga berharap perbincangan dan rundingan melalui pelbagai jawatankuasa MA63 yang ditubuhkan, akhirnya dapat membawa kepada pengiktirafan dan seterusnya penyampaian hak 40 peratus kepada Sabah.
“Pakatan Harapan berdiri teguh dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan dan akan terus menyokong inisiatif yang menegakkan prinsip ini,” kata kenyataan itu.
Semalam, Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu
kepada SLS untuk membuat semakan kehakiman berhubung kelayakan Sabah mendapatkan 40 peratus hasilnya.
Keputusan panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing itu didengar secara dalam talian.
Sebelum ini Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan sejurus selesai mendengar hujahan semua pihak dalam kes rayuan berkenaan di Kota Kinabalu pada 16 Mei lalu.
Ia sekali gus memberi laluan kepada pihak SLS untuk meneruskan usaha mewakili rakyat Sabah untuk mendapatkan hak negeri melalui semakan kehakiman terhadap perkara berkaitan dengan pengembalian 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Comentários