- Wartawan Nabalu News
Piala Malaysia: Sabah seri 2-2 menentang Kelantan
1 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BAHRU: Sabah FC seri 2-2 menentang Kelantan FC dalam perlawanan kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Sabah menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi sepakan penalti oleh kapten pasukan, Risto Mitrevski pada minit ke-31 selepas bola terkena tangan pemain Kelantan FC, Muhammad Zubir Mohd Azmi.
Pasukan pelawat cuba untuk menambahkan gol menerusi sepakan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-36 bagaimanapun cubaan tersebut berjaya ditangkap oleh penjaga gol skuad The Red Warrior, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.
Pasukan tuan rumah kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil sepakan Natanael Siringo Ringo yang pantas merampas bola yang terlucut dari kawalan penjaga gol Sabah FC, Robson Rendy Rining. Skuad Tembadau terus mengasak gawang skuad Kijang menerusi beberapa percubaan oleh pemain pertahanan import, Park Tae-su dan sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim namun kedua-duanya gagal menembus gawang lawan, menyaksikan keputusan kekal seri 1-1 di babak pertama. Pada aksi separuh masa kedua, Kelantan FC hampir menambahkan gol pada minit ke-57 menerusi Muhammad Haziq Mohd Subri namun bola yang ditendang melangkaui gawang lawan.
Gol kedua Kelantan FC akhirnya hadir pada minit ke-69 menerusi Muhammad Haziq Mohd Subri yang menyambar bola yang terkena tiang hasil sepakan hantaran Ringo pada minit ke-69.
Bagaimanapun, kegembiraaan pasukan Kelantan FC tidak bertahan lama apabila sepakan penaliti diberikan kepada Sabah FC ekoran tindakan pasukan pertahanan yang menjatuhkan pemain tengah Sabah FC, Levy Clement Madinda pada minit ke-79.
Mitrevski sekali lagi menyempurnakan sepakan penaliti tersebut sekali gus membolehkan Sabah menyamakan kedudukan 2-2 yang kekal sehingga ke wisel penamat.
Comments