PIBG SM Sung Siew Perkasakan Program Kesedaran Anti Buli
- nabalunews
- Sep 2
- 2 min read

2 September 2025
SANDAKAN: Budaya buli di sekolah dibimbangi menjadi ancaman serius terhadap kesejahteraan murid sekiranya tidak ditangani sebaiknya.
Justeru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Sung Siew dengan kerjasama pihak sekolah mengambil inisiatif melaksanakan Program Kesedaran Anti Buli.
Ia sebagai langkah memperkukuh usaha memberi kesedaran kepada masyarakat selain memastikan gejala tidak sihat itu dapat dibanteras.

Yang Dipertua PIBG SM Sung Siew (CF), Dr. Peter Jr Naintin, berkata kerjasama erat antara pihak sekolah dengan PIBG sangat penting bagi memastikan budaya buli dapat ditangani sejak awal peringkat persekolahan.
“Program Kesedaran Anti Buli seharusnya bermula daripada kita di peringkat sekolah dan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
“Saya menyeru semua PIBG di wilayah Sabah agar berganding bahu dengan pihak sekolah dalam melaksanakan program dan aktiviti yang menyokong kemenjadian murid serta menolak budaya buli,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dr Peter berkata, tanggungjawab menangani isu buli tidak boleh hanya dipikul oleh pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan penuh PIBG, masyarakat dan agensi berkaitan.
Sehubungan itu, Dr Peter menegaskan, antara pengisian utama program berkenaan ialah ceramah kesedaran yang memberi pencerahan mengenai definisi buli, tiga jenis buli yang sering berlaku dan dua langkah pencegahan.
Katanya, ia juga memberi penerangan berkenaan lima prosedur pelaporan serta tindakan pihak sekolah, selain penerangan peruntukan undang-undang berkaitan kes buli.

Sementara itu, program yang diadakan di pekarangan sekolah turut diserikan dengan gimik perasmian menandatangani banner bertulis “Hentikan Buli” sebagai simbol komitmen bersama untuk membanteras gejala itu.
Di samping itu, turut ditayangkan video Anti Buli dan bacaan Ikrar Anti Buli oleh para pelajar bagi memberikan impak kesedaran dalam kalangan warga sekolah.
Penganjuran program itu dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam mewujudkan suasana persekolahan yang lebih selamat, kondusif dan bebas daripada unsur buli.
Ia sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia memperkasakan kesejahteraan murid di sekolah-sekolah seluruh negara.


















Comments