Pilih calon Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan, kesinambungan agenda ekonomi negara: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pilih calon Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan, kesinambungan agenda ekonomi negara: Ewon

6 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA KUBU BHARU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyeru para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) supaya memilih calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), di kawasan ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini penting untuk kestabilan politik dan kesinambungan agenda ekonomi negara.


“Negara kita memerlukan satu kerajaan yang stabil yang didukung oleh pelbagai parti mewakili pelbagai gabungan dan ini menjadikan satu keunikan kepada negara kita yang mesti dipertahankan iaitu kestabilan politik.


“Ini kerana kekacauan dan ketidakstabilan politik boleh menjejaskan pembangunan negara dan juga kemakmuran ekonomi.


“Justeru dalam konteks pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bahru Hulu Selangor, saya menyeru para pengundi di sini untuk memberi mandat baharu kepada calon kerajaan perpaduan daripada Pakatan Harapan yang didukung oleh parti-parti lain yang bergabung dalam kerajaan perpaduan supaya kestabilan politik dapat diteruskan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program Taklimat Pembiayaan TEKUN Nasional di sini, hari ini.

Ewon berkata, kestabilan politik amat penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah membawa pelabur-pelabur asing ke dalam negara ini.


“Begitu juga dengan inisiatif dalam negara, kita telah merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti keusahawanan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil. Semua ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan adanya kestsbilan politik.


“Kita tidak mahu keadaan sebelum ini, di mana setiap satu atau dua tahun, ada pertukaran kerajaan yang menganggu dasar-dasar ekonomi dan pembangunan negara.


“Kita harus belajar daripada sejarah dan pengalaman tersebut. Kita berada dalam satu kerajaan yang sangat stabil dipimpin oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang sangat cemerlang dan kita harus pertahankan sehingga akar umbi termasuk dalam kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen seluruh negara.


“Maka itu, pilihlah calon daripada kerajaan perpaduan untuk kita menangkan dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.


Terdahulu itu, ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata, TEKUN Nasional adalah antara empat agensi yang diberi mandat besar melaksanakan pembangunan usahawan mikro dan kecil dalam pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.


“TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sekitar RM1.1 bilion pada tahun 2023 kepada usahawan-usahawan di seluruh negara.


“Selain itu, beberapa skim baharu juga telah diperkenalkan seperti Skim Pembiayaan Usahawan Kraf dan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu.


“Saya berharap TEKUN Nasional meneruskan kecemerlangan dalam melahirkan lebih ramai usahawan mikro dan kecil baharu negara selain membantu usahawan-usahawan sedia ada,” katanya.

bottom of page