top of page

Pilot projek Pusat Perlindungan Sementara kanak-kanak jalanan di Kota Kinabalu

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 28, 2022
  • 2 min read

28 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menyelamat kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti di negeri ini.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, Pusat Perlindungan Sementara itu akan diselia oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).


Beliau berkata, penglibatan kanak-kanak berkenaan dalam aktiviti meminta sedekah, berkeliaran di kawasan tumpuan ramai serta mewujudkan setinggan dalam bandar bukan sahaja memberi imej negatif kepada negeri ini, malah memberi persepsi yang salah tentang usaha pembangunan negeri.

Ewon bersalaman dengan Datuk Dr.Jeffrey Kitingan pada pembentangan Bajet Negeri 2023, pada Jumaat lalu.

“Majoriti kumpulan ini adalah daripada suku Palauh yang merupakan kumpulan masyarakat tanpa dokumen yang secara tradisinya menghuni kawasan pesisir laut dan pulau-pulau di pantai timur negeri Sabah.


“Untuk menangani isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di sekitar bandaraya, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menyelamat dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti.


“Pilot projek akan dilaksanakan di Kota Kinabalu di mana Kerajaan Negeri telahpun mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami untuk dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara,” katanya.

Datuk Masidi Manjun (kiri) mengucapkan tahniah kepada Ewon atas kemenangan di Parlimen Penampang pada PRU15, sebelum pembentangan Bajet Negeri 2023, Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Ewon diwakili Adun Luyang Phoong Jin Zhe membacakan soalan itu yang bertanya apakah usaha kerajaan untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik di sekitar Kota Kinabalu.


Abidin berkata, bagi pilot projek pusat perlindungan sementara di Kota Kinabalu, peruntukan segera sebanyak RM250,000 telahpun disediakan untuk pengubahsuaian rumah berkenaan.


Katanya, pusat perlindungan itu dijangka mula beroperasi penghujung tahun ini.

Ewon bersama beberapa wakil rakyat pada persidangan DUN, Jumaat lalu.

“Dari segi konsep, sasarannya adalah kanak-kanak Palauh secara bersama dengan penjaga atau berasingan akan diselamatkan semasa operasi PBT secara berjadual dan bersasar.


“Kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksima sehingga tiga bulan.


“Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.


“Selepas itu, kanak-kanak ini akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir. Semasa penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan,” katanya.


Beliau berkata, tanggungjawab keselamatan di pusat itu diletakkan di bawah bidang kuasa RELA yang memberikan kawalan 24 jam sepanjang pusat beroperasi, manakala tanggungjawab membuat pemeriksaan sebelum masuk dan isu-isu kesihatan di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan.

Ewon bersalaman dengan wakil-wakil rakyat yang hadir pada pembentangan Bajet Negeri 2023, pada Jumaat lepas.

Abidin berkata, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak-hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan dari sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak tahun 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii).


“Larangan kanak-kanak terlibat dengan aktiviti meminta sedekah atau mengemis serta aktiviti yang memudaratkan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan menyedari isu kanak-kanak yang berkeliaran atau pengemis perlu ditangani dan kerajaan akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian.


“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan akan terus berkolaborasi dan melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain- lain agensi yang berkaitan,” katanya.

Comentarii


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page