Pindaan Akta FAMA bagi memperluas skop terhadap pemasaran komoditi ternakanPindaan Akta FAMA bagi memperluas skop terhadap pemasaran komoditi ternakan
top of page
  • nabalunews

Pindaan Akta FAMA bagi memperluas skop terhadap pemasaran komoditi ternakan


Dr Ronald (dua dari kanan) ketika meninjau pelaksanaan kerja-kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah di Pejabat FAMA Negeri Sabah Kota Kinabalu

7 Ogos 2021


KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membuat pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141] untuk memberikan kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengedar dan memasarkan komoditi ternakan dalam pasaran negara.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pindaan yang dicadang untuk dibawa ke sidang Parlimen terdekat ini akan memperluaskan skop FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya yang luas.


Beliau berkata, buat masa ini, Akta 141 mempunyai bidang kuasa yang terhad yang mana tafsiran keluaran pertanian (agricultural produce) dalam seksyen 1A hanya memperuntukkan keluaran pertanian tertentu dan tidak termasuk komoditi ternakan.


“FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan bagi komoditi berkenaan untuk memastikan bekalan ternakan sentiasa berada di dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu memandangkan ketika ini tiada agensi khusus yang menjalankan aktiviti pemasaran ternakan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan kerja-kerja membina Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah di Pejabat FAMA Negeri Sabah hari ini.


Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri Sabah Haji Ribin Haji Wahid.


Menurut Dr Ronald, MAFI melalui FAMA sentiasa memberikan perhatian khusus terhadap aspek pemasaran keluaran hasil pertanian selaras dengan penekanan yang akan diberikan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) untuk memperkukuh akses pasaran bagi hasil keluaran permintaan tinggi dan berorientasikan eksport.


“Pembangunan Kompleks Pemasaran FAMA sebegini adalah antara usaha untuk mewujudkan satu rantaian pemasaran yang lengkap dan teratur serta sebagai kemudahan untuk usahawan-usahawan tani untuk memproses hasil keluaran mereka dan seterusnya di hantar ke Semanjung Malaysia atau dieksport,” kata Dr Ronald.


Mengenai Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Sabah beliau berkata, secara khususnya akan memberi kemudahan dan persediaan tersedia kepada golongan sasar di samping membantu mereka memasarkan hasil pertanian bagi mengelakkan dari berlaku lebihan atau lambakan hasilan pertanian.


Katanya, pusat pemprosesan itu juga berperanan bagi memproses buah – buahan untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku dan produk pemprosesan minima.


“Pusat ini dijangka mampu memproses 1,500 tan metrik durian, 288 tan metrik kelapa, 240 tan metrik nanas MD2, 960 tan metrik sayuran kobis menjelang tahun 2025 bagi pasaran tempatan dan eskport,” katanya.


Dalam pada itu, Dr Ronald juga telah menyerahkan bantuan MAFI Prihatin FAMA hari ini kepada 250 orang usahawan pemasar FAMA di Pejabat FAMA Negeri Sabah, Kota Kinabalu.


Sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ini merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang merupakan inisiatif serampang dua mata di mana dapat membantu petani memasarkan lebihan hasilan pertanian mereka dan dalam masa sama dapat membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page