top of page
  • Farah Salim

Pindaan Perlembagaan MA63 diluluskan di Dewan Rakyat



14 Disember 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Hari ini dalam sejarah persidangan Dewan Rakyat, apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia diluluskan dengan majoritI lebih dua pertiga.


Sokongan majoriti dua pertiga itu diperoleh menerusi dua kali undi belah bahagian, masing-masing pada bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.


RUU itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga.


Seramai 20 Ahli Parlimen tidak hadir pada undian bacaan kali kedua, manakala 21 tidak hadir pada bacaan kali ketiga.


Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.


Terdahulu itu ketika membentangkan pindaan RUU itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio-ekonomi mampan.


Menurut RUU itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan (b) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.


Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.


Selain itu, RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras dinyatakan dalam undang-undang negeri sebagai ras asli bagi negeri itu” serta memotong Fasal 7.


Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.


Comments


bottom of page