Pindaan RUU LHDN, bukti kejayaan pimpinan PH Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pindaan RUU LHDN, bukti kejayaan pimpinan PH Sabah


14 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Billy Joe Dominic berkata, keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 bukti kejayaan Pakatan Harapan (PH) Sabah.


Beliau berkata, Pindaan RUU LHDN itu membolehkan wakil Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah.


“Ia merupakan salah satu tuntutan dalam saman pemula PH Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan.


“Saya gembira kerana akhirnya usaha kita dan rakyat Sabah memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menampakkan hasil yang besar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Sebelum ini, pimpinan PH Sabah menerima pelbagai kritikan atas keputusan mereka menarik balik saman pemula.


“Pada hari ini terbukti tindakan PH Sabah itu bukan “cakap kosong” tapi berdasarkan fakta, perkembangan positif dan kukuh daripada kerajaan persekutuan,” katanya.


Billy berharap, pihak berkenaan yang sebelum ini mengkritik pimpinan PH Sabah supaya membuka mata dan melihat sudut positif.


“PH Sabah berjaya ketika mereka hanya mampu bercakap. 'action talk louder’,” katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan semua pimpinan PH Sabah atas kesungguhan mereka memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak.


“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Sabah kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada PH memperjuangkan hak hak Sabah,” katanya.


Baru-baru ini, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan RUU LHDN (Pindaan) 2023 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDN.


RUU itu yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page