PKP 3.0 GAGAL?
top of page
  • nabalunews

PKP 3.0 GAGAL?



28 Jun 2021 Melihat kepada situasi semasa Pandemik Covid 19 di Malaysia dan cara kerajaan menangani pandemic ini, saya meragui dan ingin mempersoalkan tentang indikasi-indikasi yang terkandung di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin. Adakah indikasi-indikasi ini benar-benar boleh dicapai atau hanya sekadar retorik kerajaan PN semata-mata sebagai “Political Survival” mereka selepas Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Menitahkan agar Parlimen bersidang segera. Mengapa saya katakan “Political Survival”? Umum mengetahui bahawa Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini bukanlah kerajaan yang stabil dari segi bilangan majoritinya di Dewan Rakyat. Mereka mungkin dapat menepis sebarang usul undi tidak percaya di Parlimen akan tetapi mereka mungkin bermasalah dalam meluluskan bajet 2022. Saya ingin bertanya kepada kerajaan, apakah jaminan bahawa Negara Malaysia akan mampu keluar daripada Fasa Pertama PPN? Sedangkan PKP 3.0 yang bermula dari 1 Jun 2021 hingga 28 Jun 2021 boleh saya klasifikasikan sebagai gagal kerana tidak menunjukkan konsistensi dalam penurunan kes harian. Mengambil kira kegagalan PKP 3.0 selama 28 hari dan indikasi-indikasi untuk Negara keluar daripada Fasa Pertama PPN, bagi saya Negara boleh sahaja keluar daripada Fasa Pertama ini seawal minggu pertama bulan Julai atau boleh jadi sehingga hujung tahun bergantung kepada kecekapan, ketelusan dan kemahuan Kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Fakta menunjukkan bahawa diantara 60% hingga 70% daripada kluster baharu yang direkodkan saban hari berpunca daripada Kluster Tempat Kerja dan jumlah kes tertinggi dalam kluster tempat kerja adalah daripada sektor perkilangan, diikuti dengan sektor pengeluaran dan sektor pembinaan. Justeru jikalau Kerajaan benar-benar serius untuk memerangi Covid-19 maka hentikanlah dahulu sektor-sektor ini untuk terus beroperasi. TEDDY A. MARTIN PEMUDA UPKO BAHAGIAN PUTATAN

bottom of page