PKP DI SABAH DILANJUTKAN SEHINGGA 4 FEB
- Wartawan Nabalu News
- Jan 21, 2021
- 1 min read

21 Jan 2021
Oleh Anne Sham
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor dan Kelantan yang dijadualkan berakhir pada 26 Jan ini akan dilanjutkan sehingga 4 Feb ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko yang dibentangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap negeri-negeri yang dilaksanakan PKP lebih awal.
Beliau berkata, bagi negeri Sabah, sehingga 20 Januari (kelmarin), secara kumulatif sebanyak 45,008 kes positif telah direkodkan dengan 6,027 kes direkodkan dalam masa 14 hari dari 7 sehingga 20 Januari.
"Sehingga kini sebanyak 23 daerah berada di dalam Zon Merah, tiga Zon Kuning dan satu Zon Jingga.
"Selain itu terdapat peningkatan kes serta kluster baharu di negeri ini termasuk hasil saringan daripada kontak rapat," katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi Wilayah Persekutuan Labuan, secara kumulatif sehingga 20 Januari sebanyak 1,919 telah direkodkan di wilayah itu.
"Bagaimanapun KKM mengesahkan kes Covid-19 masih menunjukkan trend peningkatan di mana dalam tempoh 14 hari dari 7 sehingga 20 Januari sebanyak 151 kes positif Covid-19 direkodkan dan terdapat dua Zon Merah, dua Zon Jingga dan satu Zon Kuning di wilayah ini," katanya.
Beliau berkata, atas penilaian risiko dan nasihat KKM, Sidang Khas bersetuju untuk melanjutkan lagi PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Johor, Kelantan dan Sabah sehingga 4 Februari ini, iaitu diseragamkan dengan tarikh tamat PKP di negeri-negeri yang lain.















Comments