PKP: PENGUSAHA KEDAI GUNTING RAMBUT HARAP DIBENARKAN BEROPERASI
- Wartawan Nabalu News
- Jan 16, 2021
- 2 min read

16 Jan 2021
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
PUTATAN: Pemilik kedai gunting rambut berharap kerajaan dapat melonggarkan arahan supaya membenarkan kedai gunting beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Menurut pengusaha kedai gunting, penutupan kedai mereka sepanjang PKP dilihat sebagai menutup 'periuk nasi' selepas penutupan operasi selama hampir empat bulan semasa PKP Mac tahun lalu.
Meskipun mereka akur dengan keperluan PKP untuk mengurangkan jumlah kes Covid-19 khususnya di Sabah, namun mereka terkejut apabila beberapa sektor ekonomi lain dibenarkan beroperasi yang dilihat bukan kategori keperluan ketika PKP.
Pemilik Fendy Hair Studio Mohammad Affendy Mohammad Sanni, 45, berkata, pengalaman hilang sumber pendapatan yang banyak selepas terpaksa menutup kedai selama hampir empat bulan pada PKP Mac tahun lalu banyak memberi kesan kepadanya.

“Sepanjang 11 tahun menjalankan perniagaan kedai gunting rambut, ini adalah pengalaman pahit yang saya tempuh apabila terpaksa menutup operasi kedai dalam tempoh yang lama, saya hilang sumber pendapatan untuk keluarga.
“Namun dalam tempoh itu, tidak banyak kami buat selain memohon bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, tetapi itu juga dilihat masih tidak mencukupi kerana kami memerlukan kewangan untuk keluarga,” katanya.
Affendy berkata, meskipun dibenarkan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) yang lalu, dia mengakui hilang pelanggan hampir 50 peratus disebabkan hilang pekerjaan dan pendapatan.

“Pada ketika itu kami ibarat baru mula berniaga, kena atur strategi baru dan pelbagai perkhidmatan kami laksanakan. Ketika ini saya juga menjual beberapa produk lain bagi menambah sumber pendapatan saya dan keluarga.
“PKP 2.0 ini kami sudah jangka, ada sedikit persediaan namun tidak tahu boleh bertahan sampai bila dan kami berharap agar dibenarkan beroperasi dengan pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ketat buat pelanggan kami,”katanya.
Sementara itu, pemilik Bro's Barbershop Sukman Abd Malik,32, turut berharap agar PKP 2.0 tidak dilanjutkan selain meminta kerajaan membenarkan pengusaha kedai gunting beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat.
“Memang diakui pada PKP yang lalu saya dan para pekerja lain terjejas pendapatan kerana ini adalah kerja sepenuh masa saya dan banyak perkara difikirkan termasuk membayar sewa kedai. Simpanan yang ada saya gunakan terutama keperluan rumah.
“Pada kali ini (PKP2.0) saya berharap agar ia tidak dilanjutkan lagi seterusnya kami dapat meneruskan operasi bagi menambah pendapatan harian kami,”katanya.















Comments