top of page

Sabah DigitalUp Launchpad 2026 inisiatif baharu MINDET

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 3 min read


KOTA KINABALU (19 Jun 2026) - Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah menjalin kerjasama strategik dengan TikTok Shop Malaysia bagi menjayakan inisiatif Sabah DigitalUp Launchpad 2026 yang menyasarkan penyertaan 1,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif baharu MINDET itu membantu memperluaskan pasaran produk Sabah ke peringkat nasional menerusi TikTok Shop Live.


“Melalui kerjasama ini, TikTok Shop Malaysia menyasarkan nilai jualan digital sebanyak RM10 juta bagi produk-produk Sabah sepanjang tahun ini menerusi pelaksanaan program yang akan berlangsung selama 90 hari di beberapa daerah terpilih iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Ranau, Keningau dan Kota Belud.


“Program ini turut disokong dengan pelaburan berjumlah RM1 juta oleh TikTok Shop Malaysia dalam bentuk latihan, geran digital dan sokongan pemasaran bagi membantu usahawan tempatan memperkukuh kehadiran mereka dalam ekosistem perdagangan digital,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sabah SME Fest 2026, di sini, hari ini.



Ewon berkata, sebagai insentif kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang, seramai 30 usahawan terbaik yang berjaya melengkapkan misi jualan di TikTok Shop akan menerima pakej sokongan digital bernilai sehingga RM10,000 setiap seorang.


Katanya, pakej itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk baucar promosi, sokongan hos siaran langsung (live host), kerjasama dengan pencipta kandungan afiliat (affiliate creators), kredit pengiklanan digital serta inisiatif pemerkasaan lain untuk tempoh enam bulan.


Selain itu katanya, lima jenama industri Sabah yang berpotensi tinggi akan menerima sokongan tambahan bernilai sehingga RM15,000 setiap perusahaan dalam bentuk pengiklanan berbayar, baucar promosi, sokongan pemasaran dan kolaborasi bersama affiliate creators bagi memperluaskan capaian pasaran mereka.


“Setakat ini, siri program di Tawau dan Sandakan telah berjaya dilaksanakan dengan menyediakan latihan berstruktur kepada lebih 100 usahawan tempatan yang mengusahakan pelbagai produk berasaskan hasil lautan dan warisan tempatan seperti udang geragau, sambal ikan bilis, keropok lekor serta pelbagai produk nilai tambah yang lain,” katanya.


Ewon berkata, melalui inisiatif ini, para peserta bukan sahaja menerima bimbingan dalam pemasaran dan perdagangan digital, malah turut diberi peluang mempromosikan produk mereka melalui saluran TikTok Sabah Digital Mall, sekali gus memperluaskan capaian pasaran dan meningkatkan daya saing produk Sabah di peringkat nasional.


“Sabah kaya dengan warisan budaya, kraftangan, hasil ekonomi biru dan semangat keusahawanan yang menjadi identiti negeri ini.


“Justeru, saya amat mengalu-alukan kerjasama antara MINDET dan TikTok Shop Malaysia melalui Sabah DigitalUp Launchpad 2026 yang bukan sahaja menyasarkan 1,000 PMKS dan RM10 juta jualan digital, malah turut membawa pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti kepada usahawan Sabah.” Katanya.


Ewon berkata, program ini bukan sekadar memperkasa perniagaan, tetapi turut mengangkat budaya serta produk tempatan Sabah ke pasaran yang lebih luas.


“Kerajaan Negeri komited menyokong usaha seperti ini agar lebih ramai usahawan Sabah berkembang daripada jenama tempatan kepada jenama yang dikenali di peringkat nasional dan serantau.


“Saya yakin usaha ini akan membantu mempercepatkan transformasi digital usahawan Sabah, membuka akses kepada pasaran yang lebih luas serta meningkatkan pendapatan komuniti tempatan khususnya dalam sektor ekonomi biru dan PMKS.


“Sehubungan itu, kementerian saya akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan digital melalui kerjasama strategik bersama pelbagai platform, agensi dan penyedia teknologi bagi memastikan usahawan Sabah tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.


“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah bukan sahaja berdaya tahan, tetapi juga berdaya saing dan mampu mengembangkan perniagaan mereka hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata, selaras dengan agenda Sabah First, Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan produk tempatan agar kekal menjadi pilihan utama pengguna serta berdaya saing di pasaran yang lebih luas.


Katanya, pada masa yang sama, pendekatan ini akan membuka ruang kepada limpahan ekonomi yang lebih besar kepada sektor-sektor berkaitan termasuk rantaian bekalan, logistik, perkhidmatan sokongan, industri hiliran dan peluang pekerjaan, sekali gus memberi manfaat menyeluruh kepada PMKS serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara keseluruhan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page