PKPD DI ANJUNG TEDUH FELDA SAHABAT LAHAD DATU BERMULA 24 OKTOBER
- Wartawan Nabalu News
- Oct 22, 2020
- 2 min read

22 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Perintah kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti Anjung Teduh FELDA Sahabat Lahad Datu akan berkuatkuasa 24 Oktober hingga 6 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan melibatkan 544 unit rumah dengan seramai 4,629 orang penduduk.
Beliau berkata, keputusan tu diambil selepas mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di lokaliti Anjung Teduh FELDA Sahabat Lahad Datu.
“Atas nasihat Kementrian Kesihatan Malaysia (KKM), Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti Anjung Teduh FELDA Sahabat Lahad Datu, berkuatkuasa 24 Oktober 2020 sehingga 6 November 2020.
“PKPD ini akan melibatkan 544 unit rumah dengan seramai 4,629 orang penduduk.
“Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagaimanapun sedikit kelonggaran akan diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM,” katanya.
Ismail Sabri berkata, KKM juga akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.
“Bekalan keperluan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.















Comments