PKPD KG.RIMBAYAN, KENINGAU DAN KG.SIMPANG 3A MEROTAI TAWAU MULA ESOK (2 APRIL)
1 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Rimbayan Keningau dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau bermula 2 April (esok) sehingga 15 April ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti berkenaan selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan.
"Sehingga 31 Mac, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 301 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 29 kes positif telah direkodkan.
"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masidi berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Rimbayan, Keningau bermula 2 April sehingga 15 April selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Masidi berkata, sehingga 31 Mac lalu, KKM telah melaksanakan 12 ujian saringan di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar dan daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes positif telah direkodkan manakala empat lagi masih menunggu keputusan.
"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di lokaliti terbabit," katanya.
Comentarios