PKPD DI TUJUH LOKALITI DI SABAH MULAI 13 JULAI

11 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti melibatkan daerah Beaufort, Putatan, Kota Kinabalu dan Tongod, bermula 13 Julai hingga 26 Julai ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD di Beaufort melibatkan dua lokaliti iaitu Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias, manakala Putatan pula melibatkan Kampung Tebongon.
"PKPD juga akan dilaksanakan di tiga lokaliti daerah Kota Kinabalu melibatkan Jalan Pasir Likas, Kampung Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru Telipok dan satu lokaliti di Tongod iaitu Borneo Timber," katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Masidi berkata, PKPD pula akan dilanjutkan di dua lokaliti iaitu Penjara Kepayan dan Kampung Nahaba Kota Belud.
"PKPD Penjara Kepayan sepatutnya dijadualkan tamat pada 11 Julai (hari ini) tetapi dilanjutkan sehingga 25 Julai ini.
"Manakala bagi Kampung Nahaba pula, PKPD sepatutnya tamat pada 12 Julai tetapi dilanjutkan sehingga 26 Julai ini," katanya.
Comentarios