top of page
  • Wartawan Nabalu News

PKS lancar program penanaman bahan mentah kraf tangan di Keningau


25 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) telah melancarkan Program Penanaman Bahan Mentah (PPBM) yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat di luar bandar dan memajukan industri kraf tangan di negeri ini.


Program baharu itu melibatkan penanaman bahan mentah rotan dan buluh di kawasan tanah konsesi Yayasan Sabah seluas 200 ekar di Batu 38, Keningau.


Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar Yusof Khan Bahadar berkata, program itu akan menjadi rantaian ekonomi yang berterusan dan menjamin kemampanan sumber bahan mentah kraf tangan.


"Inisiatif ini dijangka akan menjadi rantaian ekonomi yang berterusan dalam industri kraf tangan di samping menjamin kemampanan sumber bahan mentah berkenaan," katanya.


Beliau berkata, PKS juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan keusahawanan dalam bidang kraf tangan melalui Program Rural Integrated Craft Heritage (RICH) yang diperkenalkan pada tahun 2021.


"Program RICH memberi fokus kepada pembangunan dan pemantapan keusahawanan para peserta program dan menerusi program ini, para usahawan kraf tangan akan lebih mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran industri kraf tangan," katanya.


Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan melancarkan perasmian program tersebut.


Tambah beliau, sejak tahun 2011 hingga 2023, hampir 22,000 orang telah mendapat latihan di PKS dalam pelbagai bidang kraf tangan seperti batik, rotan, buluh, perkayuan dan sebagainya.


"PKS juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan SIRIM bagi mendapatkan khidmat nasihat pakar dan teknologi dalam bidang-bidang tertentu," katanya.


Beliau berkata, menerusi program latihan kraftangan dan Program RICH, PKS telah menyediakan platform kerjaya kepada bekas pesertanya di mana terdapat ada di antara mereka yang kini menjadi tenaga pengajar dalam bidang kraf tangan.

Comments


bottom of page