top of page

Platform digital kunci lonjakan industri ke era teknologi baharu - Gobind

  • nabalunews
  • Aug 14, 2024
  • 1 min read

14 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk memperkukuhkan perniagaan berasaskan ekonomi digital sebagai langkah penting dalam membantu industri beralih kepada perniagaan berteknologi baharu.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa penggunaan platform digital bukan sahaja mampu memperluas pasaran tetapi juga mengekalkan daya saing perniagaan di peringkat antarabangsa.


Gobind menjelaskan bahawa perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Kewangan untuk membincangkan dana dan inisiatif yang dapat menggerakkan usaha tersebut.


"Saya rasa semua faham dalam dunia digital, kita semua tahu teknologi boleh membantu perniagaan kita. Bolehkah kerajaan melihat bagaimana insentif boleh digunakan supaya kita boleh menggalakan lebih lagi daripada peniaga-peniaga kecil, industri-industri kecil untuk menggunakan teknologi sedia ada," kata Gobind lapor Berita RTM.


Tambah beliau, pembangunan bakat mahir dalam ekonomi digital perniagaan akan menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2025, dengan tumpuan khusus diberikan kepada Pendidikan dan Latihan Digital dan Vokasional (DVET) yang dijangka dilancarkan pada September depan.


Inisiatif DVET ini akan dilaksanakan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), bertujuan memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir untuk lima tahun akan datang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page