PM akan lancar Pelan Pembangunan Penampang Nov ini: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM akan lancar Pelan Pembangunan Penampang November ini: Ewon


27 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Penampang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim pada 18 November ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, Pelan Pembangunan itu akan dilancarkan sempena perasmian sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan (HPPK) di Penampang.


"Di peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah meminta agar sambutan HPPK tahun ini diadakan di Penampang. Malah, Perdana Menteri telahpun bersetuju dan mengesahkan kehadiran untuk merasmikan sambutan ini.


"Justeru, bersempena dengan kehadiran Perdana Menteri ini, beliau juga akan melancarkan Pelan Pembangunan Penampang ini," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi PCCCI di Dewan Hakka Sabah, di sini, malam tadi.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau menggunakan peruntukan Wakil Rakyat untuk membiayai kajian dan penyediaan laporan Pelan Pembangunan Penampang.


"Kajian ini sedang dilaksanakan sekarang oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.


"Saya juga meminta IDS untuk melibatkan badan-badan bukan kerajaan termasuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI) untuk mendapatkan input-input tambahan berkaitan isu-isu dan cadangan-cadangan pembangunan di Penampang," katanya.

Ewon berkata, pelan pembangunan tersebut akan menjadi input kepada rancangan pembangunan Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.


"Dengan pelancaran pelan ini oleh Perdana Menteri, kita boleh menjadikannya sebagai input kepada rancangan-rancangan pembangunan kerajaan termasuk penyediaan belanjawan tahunan.


"Apabila dilancarkan oleh Perdana Menteri, saya tidak nampak sebab kenapa kementerian-kementerian berkaitan tidak boleh membantu menjayakan pelaksanaan pelan ini," katanya.


Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, ADUN Kepayan Jannie Lasimbang, Presiden Sabah United Chinese Chamber of Commerce Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt, Pengerusi SME Corp Tan Sri Bernard Dompok dan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.

Mengenai majlis tersebut, Ewon menghargai sumbangan dan peranan PCCCI dalam pembangunan ekonomi Penampang dan berharap kepimpinan baharu yang diterajui oleh Presiden baharu Victor Kou akan terus menjadi sebahagian daripada pembangunan di daerah itu.


"Semua suku bangsa di negara ini mempunyai hak dan peranan. Justeru, saya berharap PCCCI akan terus memainkan peranan dalam pembangunan keusahawanan dan ekonomi negara, khususnya di daerah Penampang termasuk pembangunan gerakan koperasi yang ditubuhkan.


"Saya akan menyokong usaha baik yang dilaksanakan semua pihak termasuk PCCCI yang akan membangunkan pusat keusahawanan berasaskan digital di pejabat mereka sesuai dengan aspirasi saya untuk Penampang. Saya akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan ini termasuk menyalurkan peruntukan yang bersesuaian pada tahun hadapan," katanya.

bottom of page