PM Anwar seru warga MOF tingkatkan kesejahteraan rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PM Anwar seru warga MOF tingkatkan kesejahteraan rakyat


6 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada warga Kementerian Kewangan (MOF) agar giat meneruskan amanah bagi meningkatkan kesejahteraan dan tahap kebajikan rakyat.


"Saya menyeru kepada warga MOF agar giat meneruskan amanah bagi meningkatkan kesejahteraan dan tahap kebajikan rakyat," katanya menerusi akaun X beliau hari ini.


Beliau turut menyatakan bahawa dalam bibit awal pentadbiran Kerajaan MADANI ini, beliau menjunjung prinsip keadilan dengan meleraikan amalan pembaziran dan perbelanjaan yang menjurus kepada ketirisan.


"Kita menjalankan tanggungjawab dengan amanah untuk meningkatkan hasil negara. Dari langkah ini maka kita dapat tingkatkan bantuan kepada rakyat," ujarnya.


Beliau memberi beberapa contoh bantuan yang telah ditingkatkan oleh kerajaan, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Insentif Pengeluran Getah, dan kebajikan pesawah padi.


"SARA telah digandakan bayarannya sementelahan jumlah penerima melonjak kepada 700,000 ketimbang 210,000 tahun lepas. Bayaran maksimum STR dinaikkan hampir 20% kepada RM3,700 dengan 9 juta rakyat berkelayakan menerima bantuan program ini.


“Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluran Getah pula ditambah baik kepada RM3 ketimbang RM2.70 pada tahun lalu. Kebajikan pesawah padi kita juga tidak dilupa dengan usaha meningkatkan kadar skim subsidi dan harga lantai belian padi," jelasnya.


Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bayaran insentif RM2,000 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah serta RM1,000 kepada Jawatan Utama Sektor Awam akan disalurkan pada 23 Februari ini.


Beliau juga menjangka pelarasan gaji penjawat awam akan dapat diselesaikan selewatnya dua bulan dari sekarang.


"Saya tidak berkeinginan untuk berlengah lagi dengan mengadakan banyak lapisan kelulusan yang hanya menambahkan birokrasi dan melambatkan usaha dan cita murni kita," tegasnya.


Beliau berharap agar warga MOF terus bekerja keras dan berdedikasi untuk memastikan kerajaan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page