PM BERI KUASA PENUH PH SABAH HADAPI PRN LANGKAH WAJAR: PEMUDA UPKO
- nabalunews
- Jun 4, 2025
- 2 min read

4 Jun 2025
KOTA KINABALU: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan kuasa penuh kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah langkah wajar dan tepat pada masanya.
Keputusan itu menunjukkan keyakinan PH Pusat terhadap kebolehan dan kematangan politik PH Sabah yang kini dipimpin oleh Datuk Ewon Benedick selaku Pengerusi PH Sabah.
Ketua Pemuda UPKO Malaysia, Felix Joseph Saang berkata, keputusan itu turut mengiktiraf keperluan untuk memberi ruang kepada pemimpin tempatan bagi merangka strategi berdasarkan realiti politik dan sentimen rakyat Sabah.
Katanya, pendekatan ‘autonomi strategik’ itu bukan saja mampu memperkukuh jentera parti, malah membuka ruang kepada parti-parti komponen untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dan kerjasama di lapangan.
“Sabah mempunyai latar belakang politik yang berbeza dan kompleks. Justeru, keputusan memberikan kuasa penuh kepada kami membolehkan strategi yang lebih inklusif, tempatan dan berfokus dilaksanakan.
“Tumpuan utama kini adalah untuk pembangunan dan kemajuan Sabah, memperkukuh negeri dan menyantuni isu-isu setempat seperti pembangunan luar bandar, kemiskinan, serta hak-hak negeri dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Sehubungan itu, Felix berkata, kejayaan mesyuarat rasmi PM dan pimpinan PH Sabah baru-baru ini, mencatat sejarah baharu dalam pentadbiran gabungan itu di peringkat negeri.
“Selaku Pengerusi PH Sabah, Ewon boleh memacu kerjasama strategik di antara parti-parti gabungan khususnya di Sabah.
“Saya percaya Ewon selaku Pengerusi PH Sabah, akan mampu menyelaras secara langsung segala persiapan menuju PRN.
“Ini termasuk rundingan dengan rakan-rakan gabungan dan penyusunan strategi kempen,” katanya.
Sementara itu, Felix menegaskan, selaku pimpinan Pemuda Harapan Sabah, beliau akan memberi sokongan penuh dan memainkan peranan penting dalam mendekati pengundi muda serta mengangkat agenda dan hak rakyat Sabah.
“Pemuda Harapan Sabah akan menjadi tulang belakang dalam mendekati generasi kini dan bakal memainkan peranan penting.
“Ia termasuk dalam rundingan dengan mana-mana pihak yang menghormati dan memperjuangkan hak Sabah,” katanya.
“Langkah ini adalah sebagai usaha memperkukuh posisi PH di Sabah, menjelang PRN yang dijangka sengit, dengan tumpuan utama diberikan kepada agenda pembangunan, autonomi negeri, dan kebajikan rakyat,” tegasnya.















Comments