top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

PM, PH capai persetujuan dalam menanangi krisis kesihatan, ekonomi


25 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob dan barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah mencapai persetujuan bersama dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi semasa negara serta memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai insititusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.


Ismail Sabri berkata persetujuan itu turut melibatkan fungsi semak dan imbang tadbur urus eksekutif agar lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.


Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara Ismail dan Majlis Presiden PH - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.


"Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19 menjaga nyawa dan keselamatan dirit daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

(dari kiri) Mohamad Sabu, Anwar, Ismail Sabri dan Guan Eng.

"Persetujuan bersama dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


"Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan. kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam. konteks Keluarga Malaysia," jelasnya.


Terdahulu, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September.


Beliau berkata, satu sidang khas berkemungkinan diadakan lebih awal dari tarikh itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Ismail serta mengisikan kekosongan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said.


"Fokus PH adalah ke arah menjadi Pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, selain membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar Kerajaan terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.


"PH akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal, reformasi perundangan termasuk Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti, penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara, serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu oleh mana-mana pihak," kata Majlis itu.

bottom of page