PM seru belia berani bersuara, perjuang isu negara
- nabalunews
- Aug 17, 2024
- 1 min read

16 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan belia termasuk yang berada di luar negara untuk berani bersuara dalam memperjuangkan pelbagai isu termasuk kemanusiaan, rasuah, jurang kemiskinan dan alam sekitar berdasarkan prinsip dan nilai yang kukuh.
Beliau berkata masyarakat memerlukan generasi baharu dengan idea dan prinsip penuh bertenaga serta percaya kepada kebebasan, keadilan dan kemanusiaan yang boleh membawa kepada perubahan.
“Belia mesti bersuara dan memperjuangkan masalah dan kebimbangan kita seperti isu-isu kemanusiaan, penderitaan rakyat, kemusnahan alam sekitar serta rasuah,” katanya pada Majlis Perasmian Program International Young Future Leaders Summit 2024 ( iFUTURE 2024) di ibu negara hari ini.
Jelasnya isu berkenaan bukan hanya menjadi permasalahan pemimpin negara namun ia juga perlu diambil perhatian oleh golongan belia dalam menanganinya.
Beliau turut menyeru belia untuk memanfaatkan waktu selain berpegang teguh kepada cita-cita dan melindungi kemerdekaan negara.
“Cabarannya tentu sahaja berbeza tetapi anda perlu berpaksikan teras kepercayaan tertentu untuk menegaskan identiti sendiri
“Selain menerapkan kepercayaan dan nilai moral untuk demi keadilan dalam masyarakat,” katanya.
Comentários