PM THAILAND DIDENDA 6,000 BAHT KERANA TIDAK MEMAKAI PELITUP MUKAPM THAILAND DIDENDA 6,000 BAHT KERANA TIDAK MEMAKAI PELITUP MUKA
top of page
  • nabalunews

PM THAILAND DIDENDA 6,000 BAHT KERANA TIDAK MEMAKAI PELITUP MUKA



26 April 2021


BANGKOK: Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha adalah antara yang awal didenda kerana tidak memakai pelitup muka hari ini, yakni hari pertama pihak berkuasa di ibu negara Thailand mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan awam.


Prayuth yang merupakan Menteri Pertahanan didenda 6,000 baht (RM782) kerana melanggar peraturan semasa mesyuarat Rumah Kerajaan, pagi Isnin.


Sekeping gambar Prayuth tanpa memakai pelitup muka semasa mempengerusikan mesyuarat disebar meluas di media sosial awal hari ini. Gambar yang dimuatkan di Facebook rasmi Prayuth itu bagaimanapun telah dipadam kemudiannya.


Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dalam laman rasmi Facebooknya berkata beliau menfailkan aduan terhadap perdana menteri hari ini.


Aswin berkata perdana menteri diberitahu bahawa beliau telah melanggar peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka, semasa di luar kediaman.


“Beliau (Prayuth) telah dikenakan denda 6,000 baht… Beliau setuju untuk membayarnya,” katanya.


Seksyen 51 Communicable Diseases Act 2015 Thailand menetapkan bahawa seseorang yang telah melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum 20,000 baht.


Bagaimanapun media Bangkok Post melaporkan pegawai penguatkuasa mungkin menimbangkan pertuduhan yang lebih ringan berdasarkan peraturan berkaitan denda itu, yang antara lain menetapkan denda 6,000 baht bagi kesalahan kali pertama, 12,000 baht bagi kali kedua, dan 20,000 baht bagi kali ketiga.


Hari ini merupakan hari pertama peraturan memakai pelitup muka diwajibkan di tempat awam di Bangkok bagi menangani penularan COVID-19 susulan jumlah kes jangkitan yang melonjak ketika ini. - Bernama

bottom of page