top of page

PM tiba di Brunei untuk lawatan kerja dua hari

  • nabalunews
  • Aug 26, 2024
  • 2 min read

26 Ogos 2024


BANDAR SERI BEGAWAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei malam ini untuk lawatan kerja dua hari bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei.


Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 9.30 malam dan ketibaan beliau disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Nur Ezira Mahadi.


Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Dato Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, lapor Bernama.


Esok, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, di sini.


Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan untuk bersama-sama Anwar menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala, termasuk yang membabitkan sempadan darat.


Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan bahawa pada rundingan berkenaan, kedua-dua pemimpin akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala serta isu yang tertunggak.


"Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.


"Rundingan ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa serta kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa serta warisan," menurut kenyataan itu.


Pada 2023, Brunei adalah rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan RM9.31 bilion.


Jumlah eksport ke Brunei pada tahun lalu bernilai RM6.4 bilion, manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion.


Jumlah lebihan dagangan pula berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion.


Bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion dengan Brunei.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page