Polis lepas tembakan terhadap kereta pengedar dadah
- nabalunews
- Jul 6, 2025
- 1 min read

6 Julai 2025
BEAUFORT: Polis terpaksa melepaskan tembakan selepas tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah bertindak memecut kenderaan secara melulu sehingga hampir merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Membakut, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, dua lelaki berusia 18 dan 29 tahun berjaya ditahan manakala seoang lagi dapat melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan ‘Ops Gempur’ bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Katanya, sebaik kereta Proton Waja yang dinaiki ketiga-tiga suspek dipintas, pasukan polis terus memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis kepada pemandu kereta.
“Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan bertindak agresif dan terus meluru sehingga hampir merempuh pasukan serbuan.
“Pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan untuk memberhentikan kereta suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan polis terpaksa mengejar kereta suspek sebelum akhirnya berjaya dipintas di tepi Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Lumat.
“Ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri ke kawasan semak namun dua daripada mereka berjaya diberkas manakala seorang lagi dapat melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak rokok mengandungi 51.28 gram syabu bernilai RM3,800, yang disimpan dalam poket seluar salah seorang suspek,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan mendapati salah seorang suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leong Meng berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.















Comments