top of page

Polis Siasat Kes Ugutan Pemetik Api Terhadap Kanak-Kanak di Papar

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


PAPAR, 18 Ogos – Polis kini menyiasat kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikerumuni dan diancam menggunakan pemetik api di sebuah taman permainan di daerah ini, baru-baru ini.


Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir mengesahkan laporan polis berhubung kejadian itu telah diterima pada 14 Ogos lalu, susulan tularnya sebuah video berdurasi 14 saat di aplikasi WhatsApp dan media sosial yang merakamkan insiden ugutan tersebut.


Menurut beliau, kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa dikatakan menegur dan melarang beberapa individu lain daripada menghisap rokok di kawasan taman permainan berkenaan.


Semasa kejadian, mangsa telah dipegang oleh sekumpulan individu, manakala seorang lagi bertindak menyalakan pemetik api ke arahnya dengan niat untuk menakut-nakutkan.Walau bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecedaraan fizikal.


Superintendan Heryan memaklumkan bahawa pihak keluarga mangsa pada awalnya cuba menyelesaikan perkara tersebut secara baik sesama mereka, namun akhirnya memutuskan untuk membuat laporan polis rasmi bagi memohon tindakan undang-undang lanjut diambil.


Tegas beliau lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan (kekerasan jenayah) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah). Siasatan penuh sedang dilengkapkan termasuk merakam keterangan saksi dan mengumpul bahan bukti bagi melengkapkan kertas siasatan.


Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan membahayakan kanak-kanak, walaupun atas alasan bergurau atau mendidik.


Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat spekulasi liar demi melindungi emosi dan kebajikan kanak-kanak yang terlibat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page