top of page

Polis Tahan Lelaki Belasah Pelajar Tahfiz

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

ree

16 Disember 2025


KOTA KINABALU: Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia lewat 30-an berhubung video tular melibatkan kejadian membelasah sekumpulan pelajar tahfiz di daerah ini, semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan diterima untuk siasatan kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan kanak-kanak.


Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.55 malam, 14 Disember lalu, membabitkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.

ree

“Bertindak atas maklumat diterima, polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta peranan individu terlibat berdasarkan rakaman video yang tular.


Sehubungan itu, Kasim berkata, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menghormati privasi semua pihak terbabit.


“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki membelasah sekumpulan remaja di sebuah premis permainan hiburan termasuk menggunakan topi keledar.


Selain memukul dan menampar, lelaki terbabit turut menendang serta memukul menggunakan helmet kepada hampir semua pelajar.


Rakaman berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page