PRK Kinabatangan dan Lamag Ditetapkan 24 Januari Depan
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

16 Disember 2025
KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), hari ini, menetapkan 24 Januari depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N.58 Lamag.
SPR memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari, manakala pengundian awal pada 20 Januari.
Menurut kenyataan media SPR, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada hari penamaan sehingga 11.59 malam, 23 Januari 2026.
Bagi urusan undi pos, permohonan bagi semua kategori dibuka mulai hari ini, dengan tarikh tutup berbeza mengikut kategori, termasuk 8 Januari bagi petugas pilihan raya dan media serta 6 Januari bagi pengundi luar negara dan agensi.
SPR turut memaklumkan seramai 1,106 petugas akan dilantik bagi mengendalikan PRK kali ini melibatkan 36 pusat mengundi biasa dan satu pusat mengundi awal, dengan keseluruhan peruntukan dianggarkan sekitar RM10 juta.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan mengandungi 48,722 pemilih, termasuk pengundi biasa dan polis dan akan mula dijual pada 5 Januari depan.
Manakalq semakan maklumat pengundian boleh dibuat melalui portal dan aplikasi rasmi SPR mulai tarikh sama.
Untuk rekod, PRK kali ini diadakan susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.














